Rabu, 19 Oktober 2011

Tips Apabila Ditahan Cikgu(Polis)


1. APABILA DIBERHENTIKAN POLIS

1.1 Tidak Berpakaian Seragam, Minta Pengenalan Diri

Jika beliau tidak berpakaian seragam, minta beliau tunjukkan

pengenalan diri. Katakan; “Sila tunjukkan Kad Kuasa Polis anda.”

1.2 Kad Kuasa Polis

Merah : Pegawai Polis yang digantung tugas. Beliau tiada

kuasa untuk melakukan apa-apa terhadap anda.

Anda boleh berlalu dari situ.

Lain-lain Warna :

• Biru : Berpangkat Inspektor dan ke atas.

• Kuning : Berpangkat lebih rendah daripada Inspektor.

• Putih : Polis Simpanan

Ambil perhatian nama dan nombor Kad Kuasanya.

1.3 Berpakaian seragam

Ambil perhatian nama dan nombor ID pada pakaian seragamnya.

1.4 Kenderaan Peronda Polis

Ambil perhatian nombor pendaftaran kereta atau motosikal peronda

berkenaan.

2. POLIS MENYOAL SIASAT ANDA SEMASA DIBERHENTIKAN

2.1 PengenaIan Diri

Hanya berikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat anda.

2.2 Polis bertanyakan soalan-soalan lain

Tanya dengan sopan, "Adakah saya sedang ditangkap?"

2.3 Adakah anda sedang ditangkap

Anda sedang ditangkap jika Polis:

• menjawab "ya";

• tidak membenarkan anda berlalu/mahu membawa anda ke

Balai Polis; atau

• menggari anda.

Jika anda tidak ditangkap, anda boleh berlalu/menolak untuk

mengikutnya ke Balai Polis atau ke mana sahaja, jika diminta.

2.4 Bilakah anda tidak boleh ditangkap

Polis tidak boleh menangkap anda semata-mata kerana anda

berpotensi sebagai saksi dan mereka mahu mengambil pernyataan

daripada anda (Pernyataan 112/Saksi).

3. SOAL SIASAT OLEH PIHAK POLIS TANPA TANGKAPAN

3.1 Pernyataan 112

Semasa pihak Polis sedang menjalankan siasatan berhubung sesuatu

kes dan berpendapat anda mempunyai maklumat/pengetahuan

tentang kes tersebut, pihak Polis boleh menyoal siasat anda dan

mencatat semua jawapan anda (Pernyataan 112).

3.2 Permintaan Rasmi / Tidak Rasmi

Kebiasaannya, Polis membuat permintaan tidak rasmi supaya anda

memberikan Pernyataan 112. Jika tempat dan masa sesuai bagi anda,

anda boleh bekerjasama. Jika tidak, beritahu Polis anda akan

bekerjasama di tempat dan pada masa yang sesuai. Jika anda menolak

untuk bekerjasama, Polis boleh mengeluarkan arahan rasmi secara

bertulis, ditandatangani oleh seorang Pegawai Penyiasat (Pegawai Polis)

mengkehendaki anda untuk bekerjasama. Jika anda tidak mematuhi

Arahan Polis tersebut, anda tidak boleh ditangkap. Walau

bagaimanapun, ia adalah satu kesalahan dan pihak Polis boleh

memohon kepada Mahkamah untuk mengeluarkan satu waran terhadap

anda mendesak anda supaya bekerjasama.

3.3 Membuat Pernyataan 112

Semasa membuat Pernyataan 112, anda boleh menolak untuk

menjawab mana-mana soalan/berdiam diri jika jawapannya mungkin

mendedahkan anda kepada kesalahan jenayah.

• Bawa bersama anda buku catatan atau kertas tulis (Nota Peribadi).

• Catatkan dalam Nota Peribadi anda semua soalan yang ditanyakan.

• Pastikan bahawa anda faham setiap soalan yang ditanyakan.

• Ambil masa anda dan fikir dengan teliti sebelum menulis jawapan di

dalam Nota Peribadi anda.

• Bacakan jawapan anda kepada Pegawai Polis yang menyoal anda.

• Simpan Nota Peribadi anda sebagai rujukan di masa hadapan.

3.4 Menandatangani Pernyataan 112 anda

Sebelum menandatangani Pernyataan anda, baca dengan teliti semua

soalan dan jawapan anda yang ditulis oleh Pegawai Polis yang berkenaan.

• Bandingkan Pernyataan yang anda akan tandatangani dengan Nota

Peribadi anda.

• Anda berhak membuat pembetulan/pindaan ke atas Pernyataan

tersebut sebelum ditandatangani.

• Turunkan tandatangan betul-betul di bawah ayat terakhir

Pernyataan anda.

4. POLIS MENANGKAP ANDA

4.1 Tanya: "Mengapa saya ditangkap?"

Sesuatu tangkapan menjadi tidak sah jika anda tidak diberitahu alasan

tangkapan.

4.2 Jangan melawan semasa ditangkap

Polis mempunyai hak untuk menggunakan kekerasan yang munasabah

semasa menangkap anda jika anda melawan.

4.3 Tanya: "Balai Polis manakah saya akan dibawa?"

Pegawai Polis yang menjalankan tangkapan mestilah dengan segera

membawa anda ke Balai Polis yang berdekatan dan bukan sebaliknya.

4.4 Apa yang perlu anda lakukan apabila ditangkap

Anda mempunyai hak untuk membuat satu panggilan telefon kepada:

1. Keluarga atau rakan; dan/atau

2. Seorang peguam.

Anda juga bolah menghubungi Pusat Bantuan Guaman (LAC).

Maklumkan kepada mereka:

• yang anda telah ditangkap;

• masa, tempat dan alasan ditangkap;

• Balai Polis di mana anda dibawa.

4.5 Apa yang akan berlaku selepas ditangkap

Anda boleh ditahan sehingga 24 jam:

• Di Balai Polis, atau

• Di dalam lokap untuk "membantu" penyiasatan Polis.

5. HAK ANDA SELEPAS DITANGKAP DAN SEMASA DALAM TAHANAN

5.1 Hak untuk berunding dengan seorang peguam

Sebaik sahaja anda meminta kehadiran seorang peguam, anda

mempunyai hak untuk berunding dengan peguam berkenaan di Balai

Polis. Pihak Polis mestilah memberikan kemudahan-kemudahan yang

munasabah dan masa yang munasabah untuk anda berjumpa dan

berbincang dengan peguam berkenaan. Pihak Polis bagaimanapun

boleh menafikan hak ini, jika kelengahan dalam menyoalsiasat anda

boleh menyebabkan berlakunya jenayah lain atau menyebabkan

bahaya kepada pihak lain.

5.2 Pakaian

Anda dibenarkan mempunyai satu set pakaian bersama anda

semasa di dalam lokap.

5.3 Barangan peribadi

Pihak Polis mestilah merekodkan semua barangan peribadi anda dan

meletakkannya dalam simpanan selamat. Barangan peribadi anda

mesti dipulangkan kepada anda sebaik sahaja dibebaskan.

5.4 Kebajikan

Anda dibenarkan mandi dua kali sehari. Jika anda jatuh sakit, anda

berhak mendapat rawatan perubatan dengan serta-merta. Anda

sepatutnya diberikan makanan dan minuman yang wajar dan

secukupnya semasa dalam tahanan.

5.5 Berapa lamakah pihak Polis boleh menahan anda

Pihak Polis hanya boleh menahan anda sehingga 24 jam untuk

siasatan. Tugas Polis adalah untuk menyelesaikan penyiasatan

dalam masa 24 jam dan melepaskan anda dengan segera. Jika pihak

Polis tidak dapat menyelesaikan penyiasatan dalam tempoh 24 jam,

Polis mesti membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk

mendapatkan perintah reman untuk memanjangkan tempoh

penahanan anda melebihi 24 jam (Perintah Reman).

6. PERINTAH REMAN OLEH MAJISTRET SELEPAS 24 JAM

6.1 Siapakah Majistret

Majistret ialah seorang pegawai kehakiman yang mempunyai kuasa

untuk membuat Perintah Reman bagi menahan anda lebih daripada

24 jam.

6.2 Tujuan Perintah Reman

Untuk memberi lebih masa kepada Polis untuk melengkapkan

penyiasatan dan memutuskan sama ada terdapat bukti untuk

mendakwa anda atas satu-satu kesalahan. Pihak Polis tidak boleh

memohon Perintah Reman hanya untuk mengambil Pernyataan

daripada anda.

6.3 Berapa lamakah Perintah Reman

Apabila pihak Polis membawa anda ke hadapan seorang Majistret

untuk memohon Perintah Reman, pihak Polis perlu memberikan

alasan kepada Majistret mengapa anda perlu ditahan melebihi 24 jam.

Tugas Majistret adalah untuk menimbangkan secara berhati-hati

alasan-alasan yang diberikan oleh pihak Polis.

Majistret berkenaan mempunyai budi bicara:

• untuk tidak membenarkan Perintah Reman dan seterusnya

melepaskan anda; atau

• membenarkan Perintah Reman untuk satu tempoh yang lebih

pendek daripada yang dipohon oleh pihak Polis.

Seorang Majistret mempunyai kuasa untuk membenarkan Perintah

Reman tidak melebihi 4 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis

kesalahan yang sedang disiasat.

Pihak Polis boleh memohon Perintah Reman kedua selepas tamatnya

Perintah Reman pertama. Majistret boleh membenarkan Perintah

Reman kedua untuk tempoh tidak melebihi 3 hari atau 7 hari

bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat.

6.4 Apa yang perlu anda katakan ketika anda dibawa di hadapan

seorang Majistret untuk proses reman

Maklumkan kepada Majistret:

• anda mahu diwakili oleh seorang peguam dan anda mahu

menghubungi peguam, pusat bantuan guaman dan keluarga anda;

• jika anda mahukan rawatan perubatan kerana anda sakit atau

telah dipukul;

• jika pihak Polis telah mengugut atau memukul anda semasa

dalam tahanan;

• jika anda telah tidak diberikan makanan/minuman/pakaian atau

perubatan yang wajar dan mencukupi semasa dalam tahanan;

• sama ada pernah ditahan sebaik sebelum penahanan terkini anda;

• sama ada pihak Polis telah menjalankan apa-apa penyiasatan

semasa anda dalam tahanan.

6.5 Mohon supaya Majistret memberikan Perintah Reman yang singkat

Sebelum Majistret berkenaan membuat Perintah Reman, mohon

tempoh reman yang lebih singkat daripada yang dipohon oleh pihak

Polis. Beri alasan (sebagai contohnya: "saya akan bekerjasama

dengan polis dalam siasatan mereka", "saya boleh dihubungi bila-bila

masa dan tidak akan melarikan diri" dll).

7. PEMERIKSAAN BADAN TANPA TANGKAPAN

7.1 Bilakah ianya boleh dilakukan

Jika anda berada di satu-satu tempat (contohnya: disko/karaoke/

pusat-pusat hiburan) di mana Polis menjalankan serbuan untuk

mencari sesuatu (contohnya: dadah), pihak Polis boleh menahan dan

memeriksa anda jika mereka berpendapat anda mempunyai atau

sedang menyembunyikan barang yang sedang dicari itu.

Ini hanya boleh dilakukan dengan kehadiran seorang Pegawai Polis

berpangkat Inspektor dan ke atas.

7.2 Apa yang perlu dilakukan

• Jangan benarkan Pegawai Polis berkenaan memasukkan tangannya

ke dalam pakaian anda atau kocek/saku anda.

• Jika anda diminta untuk mengeluarkan barangan peribadi anda satu

persatu, setiap kali sebut "dompet", "kunci", "Kad Pengenalan" dll.

• Apabila kocek/saku/beg anda telah dikosongkan, terbalikkan kocek/

saku/beg anda.

7.3 Hak-hak anda

• Semua pemeriksaan badan mestilah dijalankan secara profesional

dan sopan.

• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang

Pegawai Polis wanita.

• Jika anda dipaksa/diugut untuk berbogel:

1. Bantah;

2. Ingat nama Pegawai Polis tersebut; dan

3. Buat laporan Polis selepas insiden tersebut.

8. PEMERIKSAAN BADAN SELEPAS TANGKAPAN BERLAKU

8.1 Bila Polis boleh berbuat demikian

• Polis secara munasabah mengesyaki bahawa anda mempunyai

bukti/keterangan berhubung kesalahan yang disyaki.

• Anda ditangkap.

• Pemeriksaan badan mestilah dijalankan di tempat tertutup. Anda

mempunyai hak untuk diperiksa badan di tempat tertutup.

8.2 Jenis-jenis Pemeriksaan Badan

Undang-undang membenarkan Polis melakukan 4 jenis

pemeriksaan badan

1. Pemeriksaan secara menepuk badan dari atas ke bawah

- pemeriksaan pakaian luaran.

2. Pemeriksaan tanpa pakaian - untuk mencari bukti, objek, barang

terlarang atau senjata. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran

seorang pegawai berpangkat Inspektor dan ke atas.

3. Pemeriksaan sulit - selain daripada mencari di dalam mulut, hidung

and telinga. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran pegawai

berpangkat Penolong Penguasa (ASP) dan ke atas.

4. Pemeriksaan dalaman - untuk menentukan kewujudan objek-objek

dll. di dalam badan. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran

Ketua Polis Daerah (OCPD). Hendaklah dijalankan oleh seorang

Pegawai Perubatan atau Pegawai Perubatan Kerajaan.

8.3 Hak anda

• Semua pemeriksaan badan mesti dijalankan secara profesional dan

sopan.

• Anda dinasihatkan supaya meminta ditemani oleh peguam anda

semasa pemeriksaan dilakukan.

• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang

Pegawai Polis wanita.

9. SOAL-SIASAT OLEH POLIS SELEPAS DITANGKAP

9.1 Kenal pasti Pegawai Polis yang menyoal siasat anda

Ambil perhatian nama/pangkat Pegawai Polis yang menyoal siasat anda.

9.2 Hak anda untuk berdiam diri

Polis lazimnya akan beramah mesra terlebih dahulu (contohnya:

bertanyakan tentang keluarga dan rakan-rakan anda dll.) Anda hanya

perlu memberikan nama penuh, umur, alamat dan pekerjaan anda

(Maklumat-Maklumat Peribadi). Selain Maklumat-Maklumat Peribadi,

anda berhak memilih untuk berdiam diri. Anda harus bersopan. Anda

tidak perlu takut untuk berdiam diri. Ini adalah hak anda. Jika anda

memilih untuk berdiam diri, katakan, "Saya ingin menggunakan hak

saya untuk berdiam diri."

9.3 Pernyataan 112 anda semasa dalam penyiasatan

Pihak Polis akan bertanyakan soalan-soalan kepada anda dan

kemudian mencatatkan semua jawapan anda. Polis tidak boleh

mengugut atau memaksa anda untuk memberi Pernyataan. Jika anda

diugut, dipukul atau dipaksa, buat satu laporan Polis terhadap

Pegawai Polis berkenaan dengan segera. Ini adalah hak anda.

9.4 Pernyataan 112 tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti

Secara amnya, apa jua Pernyataan yang anda buat kepada Polis

semasa soal-siasat tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti

kecuali jika anda dituduh atas kesalahan-kesalahan di bawah,

sebagai contoh, Akta Dadah Berbahaya, Akta Culik dan Akta

Keselamatan Dalam Negeri. Walau bagaimanapun anda boleh

menggunakan Pernyataan anda untuk menyokong pembelaan anda

semasa perbicaraan.

PUSAT BANTUAN GUAMAN / LEGAL AID CENTRES (LAC)

• Kuala Lumpur : 03-2691 3005 / 03-2693 2072

• Selangor : 03-5510 7007 / 03-3281 2428

• Negeri Sembilan : 06-6013 844

• Melaka : 06-2845 519 / 06-2864 514

• Johor : 07-2235 698

• Perak : 05-2550 523

• Kedah & Perlis : 04-7333 467

• Kelantan : 04-7448 660

• Pahang : 09-5159 244 / 09-2969 410

• Pulau Pinang : 04-2617 451/ 04-3108 451

POLIS DAN HAK-HAK ASAS ANDA

Diterbitkan dengan kerjasama TANGKAP
(Tindakan Anti PenyalahGunaan KuAsa Polis) www.malaysianbar.org.my

2 ulasan:

  1. bro...apa kes ni..geng sailing mana ada polis tgh laut...ceta la kena thn ngan maritim ka...jbt laut ka..bru kena..ahahahahaa thank for infoo..

    BalasPadam
  2. Betul jugak tu, tapi tips ni untuk mengelakkan kena tipu oleh polis palsu. (dengar-dengar jugak, geng sailing juga yang kena tipu dengan polis palsu). Semoga berhati-hati.

    BalasPadam